Advertise Now!

Monday, 10 June 2013

Info : Naluri Homoseksual, Ujian Dari Allah

homoseksual
Gambar sekadar hiasan

Kita dilahirkan suci bersih bak kain putih, lalu dicorakkan oleh kehidupan duniawi. Setiap insan pasti mahu dilahirkan sempurna sifatnya dan baik akhlak serta budi pekertinya. Saya juga seperti itu, tetapi kita hanya mampu merancang, Allah SWT yang menentukan apa yang terbaik buat kita, kerana Dialah sebaik-baik perancang, dan Dialah Maha Mengetahui.

Saya Aiman (bukan nama sebenar) dan saya dilahirkan sebagai anak lelaki bongsu dari 5 bersaudara, mempunyai 4 kakak perempuan. Dari kecil saya dimanjakan oleh adik beradik yang lain dan oleh kedua orang tua, terutamanya sang ibu. Entah mengapa, lama-kelamaan saya mula menyedari bahawa naluri diri saya mula berubah, saya mula tertarik kepada golongan sejenis yakni golongan lelaki. Ini semua saya sedari sewaktu di sekolah rendah lagi, saya mula meyukai kawan baik saya Firdaus. Setiap hari kami sering pergi dan pulang dari sekolah bersama-sama. Saya sering menghabiskan waktu bermain bersamanya. Tetapi saya harus memendam perasaan saya ini kerana saya takut jika diketahui oleh Firdaus, dia akan mula membenci saya. Perasaan ini saya pendam sehinggalah akhir persekolahan menengah tingkatan 5.

Setelah itu, saya mendapat tawaran untuk sambung belajar ke Perth, Australia. Hubungan kami terpisah begitu saja. Pada mulanya saya berasa sedih, tetapi memikirkan kehidupan harus diteruskan, akhirnya saya berjaya melupakan Firdaus dan mulai fokus pada pembelajaran saya. Tetapi ternyata ujian yang sebenar baru bermula bagi saya, di sana saya tinggal sendirian. Dan ini adalah sesuatu yang baru buat diri saya. Saya mula merasakan kebebasan yang tidak pernah saya kecapi. Sewaktu itu, tiada insan yang dapat mengongkong hidup saya. Walaupun ibu sering telefon dan mengingatkan diri ini supaya jangan pernah sesekali meninggalkan solat, tetapi nasihat itu tidak saya ikuti. Kehidupan saya semakin menyimpang. Saya mula berkenalan dengan Eric, kawan sekuliah saya. Dia adalah seorang yang baik hati, sosok tubuh yang agak sasa dan mempunyai karisma kepimpinan yang saya kagumi.

Mahu dipendekkan cerita, sejak dari itu, saya mula jatuh ke jurang maksiat. Jurang maksiat yang tidak pernah saya fikirkan. Pada sebelah pagi, saya ke kampus seperti kawan-kawan yang lain. Tetapi sebelah malamnya, saya sering keluar minum dan mengamalkan gaya hidup songsang, termasuk hubungan seks songsang. Kehidupan semakin menyimpang dari hari ke hari. Sehinggalah pada suatu ketika, saya mulai demam dan berasa kurang sihat. Sewaktu itu, saya amat takut sekali, adalah ini balasan dari Allah SWT? Adakah saya telah mendapat jangkitan virus HIV?

Kawan-kawan yang saya anggap sebagai kawan baik saya tidak menghiraukan saya. Tidak pernah mengambil berat tentang saya. Mereka tetap terus dengan kehidupan bebas mereka. Malah ada yang mentertawakan saya. Waktu itu, saya rasa sedih dan amat kesunyian. Hanya ibu dan ayah tempat mengadu. Mulai dari hari itu, sejadah yang telah lama aku simpan mulai aku gunakan kembali. Dahi yang sudah lama tidak menyentuh sejadah bagi sujud kepada yang Esa mula tersentuh kembali. Ucapan Al-Fatihah yang sudah lama tidak membasahi bibir ini, kembali terucap. Saya mulai kembali kepadaNya walaupun dengan langkahan kecil.

Sakit itu adalah rindu Allah SWT kepada hamba-hambaNya, dan sakit itu adalah penebus dosa-dosa kecil. Setelah sihat, saya beranikan diri untuk ke hospital bagi menjalani ujian darah anti HIV. Sementara menunggu hasil ujian yang bakal keluar kebesokan harinya. Jiwa saya tidak tenteram. Saya tidak lalu makan. Sering memikirkan dosa-dosa masa lalu yang banyak sekali. Dan saya teringat ayat ini :
“Sesungguhnya dengan mengingati Allah SWT, hati akan tenang.”
(Surah Ar-Ra’d ayat 28)
Saya mula berzikir. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Dan dunia ini adalah hanya sementara. Kita serahkanlah segalanya kepada Allah SWT. Apapun yang terjadi, jangan sesekali kita berputus asa kepadaNya. Alhamdulillah hati akan berasa tenang.

Keesokan harinya, langkah menuju ke hospital amat berat sekali. Tangan saya sempat gementar sewaktu mahu mencapai sampul hasil ujian darah tersebut. Setelah mengambil hasil tersebut, saya langsung pulang ke rumah. Tidak berani untuk membuka sampul tersebut di hospital. Di rumah, setelah berdoa kepada Allah SWT, saya mula membuka sampul tersebut, dan Ya Allah SWT, Alhamdulillah… ternyata hasilnya adalah negatif. Bererti saya sihat dari virus HIV. Alhamdulillah ya rabb.

Sejak dari saat itu, saya berazam untuk berubah. Ibu dan ayah sendiri juga merasakan perubahan positif dalam diri saya ini. Saya berjanji untuk mengembirakan hati mereka. Dan yang paling penting mengembirakan hati Sang Pencipta. Hubungan dengan Allah SWT itu adalah yang paling utama dalam hidup ini. Jika baik hubungan tersebut, inshaAllah baik juga hubungan kita sesame manusia. Saya nekad untuk tidak tinggalkan solat 5 waktu. Walaupun kadang-kadang saya akui, perasaan malas itu tetap ada, saya paksakan diri juga untuk bangun dan solat.

Kadang-kadang saya sering dengar ada yang mengatakan begini :
“Apalah guna solat kalau masih mencuri?” atau
“apalah guna solat kalau hendak dipaksa?”

Solat itu memang berat bagi orang yang tidak mempedulikannya. Oleh itu jika seseorang yang baru mahu berubah, adalah normal memerlukan sedikit dorongan dan paksaan. InshaAllah lama-kelamaaan keikhlasan dalam menunaikan solat itu akan tercipta apabila kemanisan iman itu dikecapi.

Menyentuh mengenai perbuatan jahat walaupun seseorang itu menunaikan solat. Saya percaya bahawa dengan terus menerus menunaikan kewajipan solat. InshaAllah perbuatan yang kurang baik tersebut akan luput. Kerana sesungguhnya hati yang bersih itu tidak dihinggapi dengan perbuatan yang kurang baik. Sesungguhnya benar sekali bahawa solat itu mencegah dari kemungkaran.

Tetapi saya juga akui bahawa perasaan terhadap golongan sejenis itu masih ada di dalam diri saya. Saya sendiri tidak tahu sampai bila perasaan ini akan menyelubungi diri ini. Tetapi saya yakin pada janji Allah SWT, Dia pasti akan membantu hambaNya. Oleh itu adalah tugas saya untuk terus berdoa dan memohon pertolongan dari Allah SWT, kerana hanya Allah SWT yang mampu menolong saya.
Yang paling penting kita terus berusaha mendekatkan diri kepadaNya, solat harus rajin kita usahakan.

Solat adalah perkara terpenting, sebab itu dipanggil tiang agama. Selain itu, belajarlah untuk menundukkan pandangan, rajinlah berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan hawa nafsu, carilah kawan yang membawa kepada kebaikan dan inshaAllah jika kita ingin berubah, Allah SWT sendiri akan menghantar kawan-kawan yang baik kepada kita. Percayalah. Perbanyakkanlah membuat kebaikan dan berdakwah, kerana kebaikan itu dapat meningkatkan pahala dan amalan kita. Usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan Rasulullah sedekat-dekatnya. Rajin bangun malam untuk solat dan zikir.

Salah satu motivasi buat diri saya adalah dengan sering berprasangka baik terhadap Allah SWT. Allah SWT itu Maha Pengampun. Jika ibu ayah kita saja dapat memaafkan kita, apatah lagi Allah SWT. InshaAllah.

“Fitrahnya iman itu bermusim. Ada masanya ia naik dan turun. Demikianlah hakikat kejadian manusia. Namun,  insan yang beruntung adalah jika imannya semakin bertambah seiring dengan amalannya. Jika kita terbuat dosa lain, kembalikan diri dan hati (hati yang paling penting) kepada jalan Allah SWT. Kuatkan diri, berdoa agar Allah SWT kuatkan hati dan semangat kita. Mohonlah bantuan dariNya dalam meredah ujian hidup ini. Ingat bahawa, ujian terbesar dari Allah SWT adalah kepada hambaNya yang paling Dia sayang. Kalau kita tidak mampu untuk membuat semua, jangan ditinggalkan semuanya sekali. Bermula dengan yang mudah, mulakan dengan solat 5 waktu, inshaAllah amalan-amalan baik lain akan mengikuti.” 

Ayat inilah yang mendorong saya dan memotivasikan diri saya. Saya nekad untuk berubah.  Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit. Ya, saya akan berusaha untuk berubah dan berdoa semoga Allah memberikan saya peluang dan hidayahnNya yang berterusan. Doakanlah diri ini agar istiqamah dalam mujahadah melawan perasaan. Semoga mujahadah ini membawa diri saya agar lebih mendekatiNya dan menjadi insan yang berjiwa fitrah.

“Ya Allah.. sambutlah tangan ini, tetapkanlah hati ini, dekatkanlah langkah mujahadah ini dalam kebaikan dan keredhaanMu. Sesungguhnya rahmatMu ku dambakan. AmpunanMu ku pohonkan. Ampunilah dosa-dosa semalam dan terimalah taubatku ini Ya Ghaffar. Hanya padaMu ku memohon keampunan dan hanya padaMu jua ku serahkan diri.”

Ditulis Oleh : Unknown // 22:55
Kategori:

0 comments:

Post a Comment

 
Advertise Now!

Blog Archive

Powered by Blogger.

Popular