KOTA BHARU 27 Sept. – Seorang bayi perempuan yang berusia genap setahun hari ini, mati lemas selepas terjatuh ke dalam baldi berisi air di rumahnya di Taman Koperasi Pengkalan Chepa di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian itu disedari seorang abang mangsa pada pukul 12.15 tengah hari apabila terlihat adiknya yang sudah tidak bernyawa di dalam baldi.
“Abang mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada kakaknya, Farhana, 20, yang segera melihat mangsa namun dia didapati sudah tidak bernyawa ketika itu.
“Farhana bersama ibunya membawa mangsa ke klinik berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Unit Forensik HRPZ II apabila ahli keluarga mangsa yang berkumpul gagal menahan kesedihan dan tangisan ekoran kehilangan bayi berkenaan.
Usaha pihak media untuk menemubual ibu bapa mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka masih trauma dengan tragedi yang menimpa.
0 comments:
Post a Comment